Monday, March 14, 2011

Menggiat sebab Tandas


Tiga hari lepas, rumah 3-1-13 begitu gamat dengan ketawa. Saya yang baru pulang dari pekan terpinga-pinga melihat mereka. Puas saya bertanya mengapa mereka ketawa sedemikian sehinggakan dari lif lagi saya sudah mendengar letusan ketawa, Anis rakan serumah, namun mereka masih ketawa sehinggalah saya masuk ke dalam bilik. Anis dan Ros mengekori saya masuk ke dalam bilik.
Saya    : Kenapa ni?
Anis     : Hahahahahahaha. Kelakarlah kak.
Saya    : Ada apa? Apa yang kelakarnya?
Anis      : Tak, tadi Anis ada cakap dekat ***tut*** (bukan nama sebenar), mulanya nak sindir, tapi risau terasa pula.
Saya    : ***tut***? Siapa? Nak sindir siapa?
Ros      : Alah, orang pembersih dekat rumah kita ni la. Siapa lagi kalau bukan dia?
Saya    : Ohh dia. Anis cakap apa dekat dia?
Anis     : Kami semua tengah cerita pasal tandas. Semua nak guna, tapi basuhnya tak nak. Geramlah kak. Dah tu dia keluar, dia cakap ***tut*** tak suka la basuh tandas, tapi ***tut*** suka benda yang bersih. Lepas tu Anis cakap la, “Ya lah Ros, engkau kan pembersih sangat-sangat kan?”
****
Anda semua faham atau tidak? Tak faham? Baiklah, biar saya cerita sinopsis kisah ini secara ringkas. Perbualan di atas melibatkan saya, Anis dan Ros. Sebenarnya dalam rumah saya terdapat seorang penghuni yang sangat mementingkan kebersihan. Memang kebersihan itu separuh daripada iman, namun yang menjadi isunya sekarang, dia seorang yang pembersih namun dia seorang yang tidak mahu berusaha sendiri ke arah kebersihan tersebut. Misalnya, isu tandas, di rumah saya terdapat dua buah tandas, dia akan bertukar-tukar menggunakan tandas berdasarkan tahap kebersihan tandas tersebut. Hal ini menimbulkan ketidakpuasaan hati ahli-ahli rumah, kerana dia mahu benda yang bersih tetapi dia sendiri yang malas mencuci tandas tersebut. Jadi, Anis telah mengambil jalan dengan menggiat atau menyindir dia tetapi menggunakan nama Ros, konon-kononya Roslah insan yang pembersih itu. Faham semua?
Saya kira anda semua pernah melakukan perkara sebegini, iaitu menggunakan nama orang lain untuk menyindir seseorang yang lain. Bahasa ini dinamakan bahasa menggiat. Ragam bahasa jenis ini biasanya ditujukan tidak tepat kepada seseorang.  Nadanya seakan-akan juga sindiran dan kiasan.  Namun begitu tujuannya agak berbeza iaitu untuk mengusik, bergurau-senda atau kadang-kala bersungguh-sungguh betul, jika benarnya orang yang terkena atau dimaksudkan menjadi malu. Jika diteliti sehalus-halusnya, memang benar ragam jenis ini, iaitu ragam bahasa menggiat, ada kalanya berupa sindiran secara sinis.  Walaupun maksud sebenarnya mengusik atau bersenda-senda tetapi kemungkinan orang yang dimaksudkan itu mungkin terasa hati seperti kata pepatah ‘siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya’. Seperti hal ini, ***tut*** pasti terasa dengan kata-kata Anis tadi, tapi mungkin juga tidak, sebab sudah banyak kali Anis menggiat kepadanya. Rasanya Anis perlu menukar ragam bahasanya kepada bahasa yang lebih berterus terang.  =)
“Sot-set”: Susah duduk satu rumah ramai-ramai kalau hanya tahu mementingkan diri.

3 comments:

  1. Contoh lain bahasa menggiat:
    1)Amboi besarnya hati kawan kita, hendak jadi Perdana Menteri.
    2)Eh, orang dan senang takkanlah nak makan anak-anak ikan lagi!
    3)Hai, dah jadi orang bandar, takkan nak ke kampung semula!

    ReplyDelete
  2. macam-macam la ragam manusia.semua tak sempurna.haha~

    ReplyDelete
  3. Ya. Jalan terbaiknya berusahalah ke arah penyempurnaan diri itu..=)

    ReplyDelete