Tadi saya sempat menemani Siti Hajar untuk menghantar buku di Perpusatakaan Proton City. Rasanya tidak ramai yang tahu kewujudan perpustakaan ini, kerana lokasinya agak tersembunyi. Sementara menanti,saya mengambil surat khabar untuk membaca isu-isu terkini terutama Tsunami yang melanda Jepun. Keadaan di perpustakaan tersebut sangat sunyi, kedengaran suara petugas di kaunter tersebut menjawab telefon. Berikut merupakan perbualannya:
“Ha’ah, beta nak kamu isi semua borang-borang tu, nanti hantar ke sini tau”. Hahahahhaha. Kedengaran dia ketawa dengan kuat sebelum meletakkan ganggang. Mungkin ada perkara yang lucu yang menggaru-garu hatinya. Saya sebenarnya tertarik dengan penggunaan kata ’beta’ yang digunakan olehnya. Saya sendiri pernah menggunakan perkataan ini semasa bergurau dengan kawan-kawan. Mungkin perbualan tadi juga merupakan gurauannya saja sebagai terapi minda untuk menghilangkan tekanan kerja. Namun salah ya kawan-kawan jika kita menggunakan beta, kerana kita bukanlah raja.=)
****
Di sini saya ingin kongsikan, beta yang digunakan pada dialog di atas ialah bahasa istana. Bahasa Istana ialah bahasa yang digunakan apabila bertutur dengan raja atau kerabat di raja. Bahasa istana mempunyai kelainan daripada bahasa biasa. Contohnya seperti berikut:
Bahasa Istana Makna
· Beradu tidur
· Berangkat pergi
· Bersemayam duduk
· Bersiram mandi
· Bertitah berkata
· Beta saya
· Gering sakit
· Istana rumah
· Kerabat saudara-mara
· Mangkat meninggal dunia
· Mohon ampun minta maaf
· Murka marah
· Patik saya
· Putera anak lelaki raja
· Puteri anak perempuan raja
· Santap makan
No comments:
Post a Comment