Thursday, March 17, 2011

Mimpi, makna dan masyarakat


Semalam saya mengalami mimpi yang agak ngeri. Saya bermimpi lengan saya digigit oleh singa putih. Singa tersebut sangat garang dan menerkam saya, dalam pergelutan tersebut saya berjaya melepaskan diri, namun lengan saya cedera teruk. Yang kelakarnya, tangisan dalam mimpi tersebut terbawa-bawa hingga ke alam nyata. Apabila sedar Subuh tadi, saya berasa penat sangat dan terdapat lelehan air mata di pipi. Saya cuba bertanya dengan rakan serumah tentang firasat mimpi saya, namun dia tidak mengetahuinya. Saya ada menelefon emak di kampung, dan menceritakan mimpi saya tersebut kepada emak. Emak saya mengatakan orang yang bermimpi tentang singa ini akan mendapat sesuatu yang baik atau kedudukan yang tinggi. (Boleh percaya ke?) Saya cuba mencarinya dalam internet, dan hasilnya seperti berikut:

“Singa merupakan simbol kekuatan dan kekuasaan. Salah satu interpretasi mimpi melihat singa adalah bahawa anda akan memiliki persahabatan yang berharga. Namun, juga boleh diinterpretasikan bahawa anda harus berhati-hati terhadap kualiti egosentrik anda. Singa adalah raja hutan dan lambang royalti. Dalam mimpinya, seorang wanita mungkin merupakan aspek jiwa pasangannya. Sebuah interpretasi Freudian (Sigman Freud) menganggap, singa mewakili kekuatan dan mengagumi aspek ayah. Hal ini juga melambangkan sifat binatang ‘anda’ atau sifat agresif anda akan kekuasaan.” Tafsiran mimpi

****
Sejauh mana kebenarannya? Dalam masyarakat Melayu mimpi sering ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran dan kadang-kadang tafsiran itu tepat dan sipi-sipi kena pada seseorang tersebut. Bagaimanakah masyarakat Melayu mendapat idea untuk mengaitkan mimpi tersebut dengan makna tersirat tersebut. Misalnya, mimpi ular juga sering dikaitkan dengan mimpi seseorang akan dirisik atau dipinang, yakni menjurus kepada perkahwinan. Meskipun adanya keraguan pada tafsiran mimpi yang mengandungi pelbagai versi ini, tetapi ia menjadi bukti bahwa bangsa Melayu itu sebuah masyarakat yang bertamadun dan berintelektual tinggi sehingga boleh mencipta bahasa dan makna bagi mimpi tertentu sehingga terbitnya buku-buku tafsiran mimpi yang boleh didapati di pasaran kini. Menurut Muhammad Ibnu Sirin dalam bukunya bertajuk Tafsir Mimpi: menurut Al-Quran dan As-Sunnah, Rasulullah pernah bersabda mengenai mimpi, Ar-ru “mimpi kebaikan” berasal dari Allah, sedangkan al-hulmu “mimpi buruk” berasal dari setan (HR Muslim). Jadi, mimpi itu mainan tidur namun kadang-kadang boleh menjadi penanda kepada sesuatu, jadi percayakah kita pada mimpi tersebut bergantung kepada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment