Thursday, March 17, 2011

Maafkan Aku Ya Kakak


 Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini ialah hari yang membuatkan saya sungguh geram dan marah. Saya tidak tahu sebab saya begitu marah dengan seseorang ini, mungkin kerana tiadanya keadilan pada dirinya dalam menilai sesuatu. Namun siapa saya untuk menilai dirinya. Tidak mengapa, saya harus berfikiran positif, kerana saya berpegang pada kata-kata yang selalu diingatkan oleh ibu saya ketika saya sedih, takut, dan hampir berputus asa, iaitu “La taqof wala tahzan innallah hamaana”. Anda semua pernah membaca buku ‘La Tahzan: Jangan bersedih’? Saya pernah membacanya, sangat sesuai dibaca apabila diri kita dalam kesedihan dan kekecewaan. (Ewah-ewah, sesi meluahkan perasaan ke ni? Huhuhuhu)  
            Sebenarnya entri saya kali ini adalah tentang seorang penjual kain ini. Tadi selepas pulang dari kelas, saya telah singgah di Kolej Ungku Omar untuk membeli juadah malam. Namun tiada yang menyelerakan. Kemudian saya dan Siti Hajar (rakan seperjuangan yang paling saya sayang) berjalan dari sebuah kedai ke sebuah kedai. Katanya, ingin membeli kain pasang untuk persediaan menuju hari-hari praktikum. Jalan punya jalan akhirnya kami singgah di kedai menjual kain yang paling hujung. Hajar ada berkenan dengan sehelai kain pasang ini, namanya Kain Sutera Wangi Greek kalau tidak salah. Kami menunggu tuan punya kedai yang merayap entah ke mana, puas membelek-belek kain tersebut akhirnya tuannya pun datang. Seorang wanita pertengahan umur yang begitu bergaya. Berikut merupakan dialog tersebut:
Hajar: Kak, kain ini sehelai berapa?
Penjual wanita: RM40, kak bagi kurang RM35.
Hajar: Alah, tak boleh kurang lagi ke kak?
Penjual: Dah murah dah adik, kak ambil untung tak banyak pun.
Hajar: Ya ka, kenapa hari tu saya beli di KHAR RM30 je.
Penjual: Itu dekat orang lain adik, mungkin dia nak habiskan stok.
Hajar: Kalau ambil 15 pasang?
Penjual: RM33 boleh la.

Selepas itu Hajar bertanya kepada saya, saya hanya menggeleng kerana saya membelinya pada dua minggu lepas di KHAR dengan harga RM30 sahaja. Saya membisikkan kepada Hajar bahawa terlalu mahal. Kami pun berlalu pergi, namun dia sempat menyindir kami dengan kata-kata:
Penjual: Kalau nak yang murah, ambil kain RM10 tu la adik.
Saya: Boleh! Lepas saya jahit saya bagi kakak pakai.
Kami pun terus pergi. Rasakan! dia ingat dia seorang saja yang tahu marah. (Agak emosi sedikit ya di situ. Maafkan aku. Aku hanya insan biasa yang kadang-kadang teringin menjadi luar biasa)
****
Persoalannya di situ wajarkah saya membalas kata-katanya itu? Kalau dari santunnya, memang saya sepatutnya membalas balik kata-kata itu, kerana saya sudah menjatuhkan diri saya sama tahap dengannya. Namun apabila amarah menguasai diri, beginilah jadinya. Hanya mampu menyesal dengan tindakan sendiri. Penjual tersebut juga tidak sepatutnya berkata sedemikian kerana dia perlu menjaga pelanggannya dan terpaksa melayani pelanggan yang sentiasa mempunyai pelbagai kerenah bak kata pepatah banyak udang banyak garam, banyak orang bayak ragam. Saya sendiri pernah membantu sepupu saya menjual barangan batik dan ubat-ubatan berasaskan gamat di kampung, namun tidak sesekali saya membuat muka dan membidas dengan kata-kata sindiran yang pedas dan menyakitkan hati orang. Hal ini kerana sepupu saya sangat mementingkan hal itu kerana baginya “customer is always right”. Jadi sedikit banyak saya telah terbiasa dengan situasi sebegini, bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tetapi sekadar berkongsi pengalaman sedangkal ini agar kita berubah menjadi insan berilmu sebagai mana dalamnya lautan. Sepatutnya penjual tersebut melayan pelanggan dengan kata-kata yang manis dan sopan, biasalah adat tawar-menawar dalam berniaga, ia adalah lumrah dalam perniagaan. Saya juga ikut bersalah dalam hal ini kerana berkata sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang, mungkin terbawa-bawa kemarahan kepada “keadilan” seseorang itu. Dengan itu, saya sebagai insan kerdil ini memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata saya tersebut, berbekalkan harapan yang tinggi agar kita bersama-sama berubah untuk menjadi insan yang bersopan-santun kerana bahasa kita melambangkan jati diri kita termasuk keluarga kita. =)
“Sot-set”: Keadilan adalah memberikan sesuatu pada haknya dan kesopanan itu umpama  jantung kepada pembentukan peribadi yang unggul. =)

No comments:

Post a Comment