Thursday, March 17, 2011

Opocot Mak Engkau!


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca.
Entri yang ingin saya muatkan dalam laman “sot-set2” bahasa kita kali ini ialah mengenai budaya latah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kisah ini berlaku semasa berada di dalam bas untuk pergi ke kampus pagi tadi, saya terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah penuh diisi pelajar-pelajar lain. Yang melucukan saya ialah terdapat sekumpulan pelajar “lelaki sotong atau donat” di depan saya melatah dengan kuat apabila bas tersebut membrek secara mengejut semasa lampu isyarat bertukar kepada merah. Nak dengar apakah yang dilatahnya? Berikut latahnya yang berjangkit-jangkit itu:
“Opocot mak engkau jatuh!” ujar lelaki tersebut yang bertubuh sasa sambil menepuk belakang temannya setelah tergerak ke hadapan.
“Mak engkau jatuh mak aku jatuh!” balas rakannya yang turut berjangkit melatah.
Latahnya itu menimbulkan letusan ketawa oleh semua orang yang berada di dalam bas tersebut, termasuklah pemandu bas. Mana tidaknya, orang lelaki melatah sedangkan orang perempuan dalam bas tersebut tenang saja. Ada juga yang memberi jelingan benci atau tidak senang apabila mendengar latah mereka. Mereka hanya membuat muka “seposen” saja tanpa menghiraukan orang sekeliling.
****
Budaya latah ini merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat. Namun situasi di atas, lelaki pula yang melatah. Jadinya melatah memang boleh berlaku sama ada pada wanita, lelaki atau “sotong” seperti yang dibicarakan pada situasi di atas. Biasanya ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas walhal hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina. Hal ini telah dibuktikan menerusi situasi di atas. Adkah latah ini sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita atau ia sesuatu penyakit yang memerlukan rawatan segera?
Mereka yang melatah ini pantang dicucuk, disergah atau terdengar bunyi mengejut, pantas saja mereka melatah. Segelintir masyarakat menganggap latah tidak perlu ditakuti kerana ia dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang mencuit hati. Namun begitu, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan dan kepenatan.
Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak. Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori. “Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut,” jelasnya. Biasanya, sistem limbik beroperasi apabila terganggu dengan sistem endokrin dan sistem saraf. Ia merupakan sistem kompleks lintasan saraf dan jaringan dalam otak yang melibatkan naluri dan hati. Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain. “Jangan ganggu orang melatah kerana mereka akan keletihan memandangkan segala tindak-tanduk yang dilakukan mereka adalah di luar kawalan,” katanya.
Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh pula, menasihati orang ramai supaya jangan mengganggu atau menyergah orang melatah. Hal ini kerana mereka akan mengalami kepenatan sehingga tidak bermaya. “Apabila berada dalam keadaan sedar, kita mampu mengawal pergerakan tetapi tidak ketika melatah,” tambah Dr. Nor Hamidah.
            Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome). Budaya latah ini memang dianggap biasa oleh masyarakat kita, namun terdapat sesetengah latah seseorang itu mengansungi unsur-unsur lucah, carut-marut, caci-maki yang boleh menjatuhkan air muka seseorang yang mengusiknya. Jadi baik kita jangan mengusik orang yang latah ini kerana mereka ini berbahasa dalam keadaan yang tidak sedar ketika ini. 
 

No comments:

Post a Comment