Sunday, March 13, 2011

Sedap sangatkah bahasa rojak?





Sebut sahaja tentang rojak buah pasti ada yang kecur air liur. Mesti kita terbayangnya bahan-bahannya yang terdiri daripada buah-buahan tempatan yang dipotong-potong kecil dan diadun dengan kuahnya yang pasti lazat dan menarik. (tiba-tiba saja perutku menjadi lapar semula, hehehehe).
Kali ini, dalam “bersot-set” tentang bahasa kita, saya ingin mengupas isu bahasa rojak. Baru-baru ini saya terjumpa dengan rakan lama dalam satu forum yang diadakan di kampus. Apa yang menariknya ialah, sebelum ini dia sangat tidak bersetuju jika kita bercakap menggunakan bahasa standard ketika membuat perbentangan di dalam kelas dahulu. Pengaruh dialeknya begitu kuat, namun apa yang mengejutkan saya semasa berjumpa dengannya, dia bersama rakannya dari pantai timur saya kira. Berikut merupakan dialognya dengan rakannya itu:
            Z: eh, B you dah hantaq ka assignment Prof. @##@@?
            B: dop gi. You?
            Z: belum jugak. Tak tau nk wat macam mana.
            B: nanti I ingat nok gi tanyo dia dulu la, nok wat lagu mano.
Saya dengan terujanya mencuri dengar, bukan teruja campur bangga, tapi teruja campur kesal dan lucu. Apatah tidak, kalau dulu dialah yang beria-ia mengutuk orang yang bercakap bahasa standartd tapi kini dia pula yang “berI” dan “beryou” dengan bangganya. Apalah hendak jadi? (kalau anda menganggap saya mereka cerita, cuba tanya “Mahsuri”, yang merupakan saksi kejadian ketika itu)

*****
Z: Eh, W kau sudah hantar tugasan Prof. @##@@?
            W: Belum lagi. kau?
            Z: Belum jugak. Aku tak tahu macam mana hendak siapkan.
            W: Nanti aku ingat nak pergi tanya Prof macam mana nak buat.

Kalau boleh ditukar perbualan mereka ketika itu, mungkin ceritanya menjadi begini atau anda ada idea yang lebih mantap untuk memurnikan cerita ini. Sebenarnya saya tidak salahkan dia seratus peratus kerana persekitaran yang memungkinkan dia berubah menggunakan bahasa rojak atau percampuran kod ini. Hal ini demikian kerana, ada pandangan yang mengatakan bahawa kemunculan bahasa rojak tidak dapat dielakkan. Bahasa perlu dinamis untuk berkembang. Bahasa rojak adalah sebahagian daripada akibat langsung `penciptaan semula' bahasa Melayu yang dalam proses perkembangannya yang pesat. Malah, seperti juga bahasa-bahasa utama dunia yang berdepan dengan krisis, ekoran ragam bahasa di dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet, bahasa Melayu harus juga berdepan dengan masalah kecelaruan berikutan penggunaannya yang meluas dalam pelbagai kalangan. Hal yang membimbangkan ialah bahasa rojak begitu meluas digunakan di media hingga akhirnya menjejaskan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan akhirnya apa yang dianggap bahasa yang celaru diterima sebagai pemakaian yang betul dalam masyarakat.
Sumber : Berita Harian   (22/07/2007)
 

No comments:

Post a Comment