Monday, March 14, 2011

Al-Kisah Yang Berbahagia


Kisah ini berlaku dua minggu lepas, semasa di dalam kelas drama, seorang rakan saya bercerita tentang seorang pensyarah di dalam kelasnya. Pensyarah ini sangat suka menyoal tentang soalan yang menguji pengetahuan umum pelajar sama ada berkaitan dengan tajuk perbentangan atau tidak. Dia begitu seronok masuk ke dalam kelas tersebut kerana corak pengajaran pensyarah tersebut sangat menarik, sehinggalah tiba giliran rakan saya ini melakukan perbentangan. Selepas peristiwa perbentangan tersebut, dia begitu serik untuk masuk ke dalam kelas tersebut. Mesti anda tertanya-tanya soalan apakah yang ditanya oleh pensyarah tersebut terhadapnya bukan?
Anda bayangkan apakah perasaan anda apabila anda hanya sempat membentang satu slaid PowerPoint? Sebabnya rakan saya ini salah menggunakan perkataan yang sesuai untuk pasangan rujukan kehormat. Dia memanggil pensyarah tersebut dengan panggilan “Yang dihormati” dan disebabkan hal itulah dia diminta tidak meneruskan perbentangan tersebut. Sepatutnya dia perlu menggunakan kata panggilan “Yang Berbahagia” kepada pensyarah tersebut sesuai dengan statusnya. Namun rakan saya ini menganggap perkara sebegitu hanyalah kecil dan tidak menyangka pensyarahnya begitu mengambil berat akan hal sebegitu. Disebabkan hal itulah, pensyarahnya tidak membenarkan dia meneruskan perbentangan. Pensyarahnya terlalu berang kerana tidak menyangka mahasiswa-mahasiswi universiti masih tidak tahu menyesuaikan panggilan pasangan rujukan kehormat lagi, walhal perkara tersebut ialah asas dalam berkomunikasi dalam sesuatu majlis yang formal. Jadi siapakah yang harus disalahkan? Rakan saya yang kurang peka dengan hal tersebut atau ?
****
Pada pandangan saya, kesalahan tersebut memang terletak pada pundak rakan saya yang tidak peka dengan panggilan yang merujuk kepada pasangan rujukan kehormat. Hal ini disebabkan sebelum ini, tiada siapa yang membetulkan panggilan ini seandainya salah kerana sesetengah orang menganggapnya tidak penting dan bagi sesetengahnya pula sebaliknya. Kadang-kadang rujukan kehormat ini sangat penting kerana inilah penanda aras terhadap status dan taraf seseorang baik dari segi jawatannya dalam istana, politik, pendidikan, agama dan lain-lain. Tatatingkat ini yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bersesuaian dengan usaha dan jasa yang telah dilakukan oleh mereka, dan kita hanya mampu membayar jasa mereka dengan panggilan sesuai dan ia sedikit sebanyak menyenangkan hati mereka mendengarnya. Bukannya susah bukan? Namun ia menjadi susah jika kita tidak mengambil tahu tentang hal ini, sehingga melakukan kesilapan. Jadi, hal ini sangat penting difahami oleh segenap penutur bahasa kita agar tidak berlaku masalah atau halangan semasa berkomunikasi seperti yang dialami oleh rakan saya. 

“Sot-set”: Maaf ya sahabat, saya mengambil kisah anda untuk ruangan “sot-set bahasa kita” ini, dan perkara penting dipelajari bolehkah kita rasional ketika tengah marah?

No comments:

Post a Comment