Thursday, March 17, 2011

Bronok


Assalamualaikum dan salam ceria semua. Kali ini saya hendak bercerita tentang sejenis spesies laut yang pastinya jarang anda semua dengar. Petang kelmarin, emak saya ada menelefon bertanya khabar. Terasa rindu pada keluarga begitu mencengkam sanubari, mahu menangis sahaja apabila mendengar suara emak di telefon. Maaf ya mak, anakmu ini tidak dapat pulang kerana tuntutan tugas yang telah diamanahkan untuk disiapkan minggu ini. Berikut merupakan perbualan saya dan emak setelah dipendekkan jalan ceritanya:
Emak: Dah makan ka?
Saya: Dah.
Emak: Beli apa?
Saya: Asam pedas ikan tongkol dengan terung masak lada ja. Mak masak apa dekat rumah?
Emak: Mak buat kerabu bronok.
Saya: Kerabu bronok? Wah sedapnya. Ni yang buat rasa nak balik ja.
Emak hanya ketawa.
****
Anda semua pernah mendengar beronok @ bronok? Mesti tak pernah bukan? Hehehehe. Spesies ini sangat istimewa dan hanya boleh dijumpai di Pulau Langkawi sahaja. Meskipun Langkawi berada dalam negeri Kedah, namun orang Kedah yang tinggal di daratan pun belum tentu mengetahui spesies ini. Baiklah, sekarang saya akan ceritakan serba sedikit spesis laut ini. Beronok merupakan sejenis spesies laut seperti gamat atau juga dikenali sebagai mentimun laut. Beronok ini boleh dijumpai di dalam laut cetek, tetapi pada perairan tertentu di Pulau Langkawi. Antara lokasi menjadi tumpuan untuk mencari beronok ini adalah di Pantai Aquabit (sebelah Hotel Perdana), hujung Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Tambak bersebelahan Hotel Langkawi Lagoon. Beronok merupakan juadah yang popular di Langkawi dan biasanya boleh diperoleh di kedai-kedai makan di Langkawi.
 Mesti anda tertanya-tanya bagaimana beronok ini dimasak dan apakah menu popular yang dimasak berasaskan beronok ini? Bagi menjawab persoalan ini, saya hanya mampu menjawab berdasarkan pengalaman saya sebagai anak laut Pulau Langkawi. Satu-satunya menu yang dimasak berasaskan beronok ialah kerabu beronok. Hal ini kerana beronok ini sifatnya mudah cair jika dibiarkan dalam tempoh yang lama, jadi ia tidak boleh direbus, digulai atau dikuahkan kepada mana-mana menu. Dalam menyediakan juadah kerabu ini, biasanya emak saya akan menyiang beronok tersebut kepada bentuk yang kecil bagi mudah dihadam. Setelah dihiris kecil-kecil dan nipis-nipis, beronok tersebut akan dibasuh dan ditoskan daripada selut dan kotoran lain. Setelah ditoskan, beronok akan diadun secara mentah ke dalam bahan-bahan untuk membuat kerabu. Biasanya, kerabu beronok ini hanya mampu bertahan hingga lewat petang sahaja jika disajikan pada waktu tengah hari. Jadi bagi mengelakkan ia basi, kerabu ini biasanya akan disimpan ke dalam peti sejuk.  Kerabu beronok yang dicampur dengan hirisan mangga muda merupakan makanan kegemaran saya, ayah dan kakak. (Abang dan adik saya kurang mengemarinya).
Apabila sepupu-sepupu saya yang tinggal di luar Langkawi (Alor Setar dan Perlis) datang ke rumah, emak saya sering menyediakan menu ini kerana menu ini juga telah menjadi menu kegemaran mereka. Pertama kali mereka mencuba menu ini, mereka sudah tertarik dengan kesedapannya. Beronok ini dari segi rasanya agak masin dan isinya lembut bagi yang muda dan agak keras dan liat bagi yang tua. Warna bagi spesis ini ialah kelabu dan coklat keperangan bergantung kepada umurnya.
Persoalannya di sini, budaya masyarakat Langkawi yang gemar makan beronok dilihat sangat unik kerana spesis gamat ini hanya wujud di Langkawi. Saya kira jika ia ada di tempat-tempat lain pun, belum tentu masyarakat di tempat tersebut tahu mengaplikasikan spesies laut ini sebagai juadah. Secara epistimologinya, saya sendiri tidak mengetahui bagaimana beronok itu mendapat nama dan kaitannya dengan budaya masyarakat tersebut, meskipun saya penduduk jati daerah ini. Sekarang anda semua sudah tahu dan bagi sesiapa yang belum dan ingin mencuba bolehlah datang ke Langkawi dan rasainya sendiri.
 bronok atau mentimun laut

 Langkah-langkah membuat kerabu bronok


kerabu bronok

No comments:

Post a Comment