Semalam semasa menaiki lif untuk pulang ke rumah, terdapat tiga sekawan yang menaiki lif yang sama. Terdapat dua orang daripada mereka yang sedang bertengkar tentang tugasan saya kira, mungkin terdapat percanggahan pendapat antara kedua-duanya. Sedang mereka asyik bertekak, rakan seorang lagi hanya tersenyum memandang saya, dan saya membalas senyumannya, saya rasa saya mengenalinya. Kalau tidak salah, kami pernah sekelas semasa mengambil kertas kenegaraan sewaktu semester dua dahulu. Mereka pelajar Sains atau Matematik kalau tidak salah saya. Akhirnya rakan yang seorang lagi itu menegur mereka dengan bahasa berikut:
“Eh korang ni, macam anjing dengan kucing dah! Dah-dah, atas rumah nanti cerita lain ok”
****
Persoalannya di sini bukanlah mengenai perbuatan dan makna peribahasa yang digunakan oleh individu tersebut, tetapi sejauh mana penggunaannya dalam proses komunikasi ini. Saya begitu kagum dengan pelajar di atas, meskipun bukan berada dalam lapangan bahasa atau kesusasteraan, ia masih tahu menggunakan peribahasa dalam komunikasinya meskipun sama ada secara sedar atau tidak. Adakah anda menggunakan peribahasa? Sejauhmanakah anda menggunakan peribahasa dalam urusan seharian?
Aspek peribahasa semakin kurang dititikberatkan kini dalam masyarakat Melayu sendiri walhal kita mengetahui kepentingannya dalam elemen kemahiran berbahasa. Antara sebab kita menolak menggunakan peribahasa adalah berpunca daripada sikap kita sendiri yang kadang-kala malu berbahasa sedemikian rupa, kita juga sering memberikan alasan peribahasa ini sukar diingat dan dihafal, ia hanya milik sastera sahaja, dan kita juga menganggap pengajaran peribahasa ini sangat membosankan. Sepatutnya kita perlu melontarkan alasan ini jauh-jauh ke laut, kerana peribahasa merupakan khazanah warisan Melayu yang tidak dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
Di sini saya ingin kongsikan sedikit tentang sumber dan asal-usul peribahasa ini muncul dalam masyarakat kita, iaitu berasal daripada pangalaman hidup rakyat jelata, pengamatan dari alam sekeliling oleh orang yang arif bijaksana, dan juga menerusi kitab suci. Hal ini dinyatakan oleh Abdullah Hussain dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Faktor-faktor perkembangan peribahasa adalah disebabkan pengalaman dan pengamatan alam sekeliling, contohnya seperti seperti telingan lintah, seterusnya lambang daripada keadaan dalam masyarakat, contohnya seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, dan faktor selanjutnya meneymbunyikan kata-kata yang kasar seperti bunga dedap, muka tembok, hidung tinggi dan banyak lagi.
Bagi saya, penggunaan peribahasa oleh pelajar di atas perlu dipuji kerana dia tidak segan silu menggunakan peribahasa meskipun dia bukan pelajar yang beraliran bahasa atau sastera. Hal ini menunjukkan peribahasa boleh dituturkan oleh sesiapa sahaja, hal ini kerana peribahasa ini ialah milik jati bangsa Melayu dan perlu dihargai kehadirannya supaya tidak pupus ketinggalan zaman.
“Sot-set”: Cuba jawab soalan di bawah seandainya anda pakar berperibahasa:
- tidak mahu menurut kata orang
- sangat degil
1) Berikut merupakan peribahasa yang digambarkan menerusi petikan di atas, kecuali
A. keras hati C. kepala batu
B. keras kepala D. kepala angin
2) Sarjan Hamid dan rakan-rakannya telah berjuang hingga titisan darah yang terakhir kerana mempertahankan tanah air tercinta. Pilih peribahasa yang paling sesuai
A. harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
B. biar berputih tulang, jangan berputih mata.
C. alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
D. daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
No comments:
Post a Comment