Thursday, March 17, 2011

Sengau


Bila teringatkan kisah pengajaran makro, saya pasti teringat tentang seorang pemandu bas yang basnya saya naiki dari Ipoh ke Alor Star. Kisah ini berlaku semasa saya, Mahsuri dan Siti Hajar ingin pulang ke kampung untuk menjalani pengajaran makro pada 25 Februari yang lalu. Bayangkan kami terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam, walhal sebelum ini perjalanan hanya memakan masa selama tiga jam setengah atau empat jam sahaja. Hal ini disebabkan oleh pemandu bas K#@##@an yang kami naiki tersebut begitu perlahan dan berhenti banyak destinasi. Disebabkan kelewatan ini, kami tertinggal feri untuk pulang ke Langkawi. Semasa di Tol Juru, Pulau Pinang saya sempat pergi memberitahu dia supaya melajukan sedikit bas tersebut:
“Pak cik boleh laju sikit tak? Kami kejar feri ni”. Ujarku.
“!@$E&%*^&(&*(^$##$%@#$^%#$%&^$^&*77” jawabnya.
“Apa?” ujarku balas tidak memahami. Sengau rupanya. Nak ketawa pun ada. Hanya tersenyum walhal dalam hati panas membara. Saya memahami sedikit-sedikit sahaja ujarannya, katanya “kenapa tak bagitahu awal-awal”. Pada masa itu, dia berhenti sekejap kerana terdapat seorang penumpang wanita turun membawa anak-anaknya yang hendak membuang air. Akhirnya kami pulang ke tempat duduk semula, kerana buang masa sahaja bercakap dengan orang sepertinya. Sudah salah sendiri masih tidak mahu mengaku.Sudahlah bergerak lambat dari jadual perjalanan, dalam jadual tersebut pukul 2.30 sepatutnya kami bergerak dari Ipoh, tetapi bas tersebut lewat hampir sejam. Panas dalam hati hanya tuhan yang tahu.
Sekali terkeluar perkataan “Tak padan dengan sengau, cakap sombong pula tu”. Tutur salah seorang dari kami. Memang tidak tahan lagi dengan kelambatan yang sepatutnya dapat dielakkan. Hal ini menyebabkan kami terlepas feri dan terpaksa menginap di sebuah motel di Kuala Kedah.
****
Saya kira anda juga pernah mengalami keadaan yang sama bukan? Dalam keadaan sebegini kata-kata seperti di atas dikira normal bagi insan biasa seperti kita. Persoalannya di sini, masalah sengau seseorang kadang-kadang mendatangkan masalah dalam komunikasi. Saya tahu, sesiapa saja tidak mahu dilahirkan dengan kecacatan sebegini, dan semua telah ditetapkan oleh Ilahi sejak azali lagi, tetapi bukankah lebih elok sekiranya kecacatan tersebut ditampung dengan budi bahasa yang sopan dan santun. Orang tidak akan melihat rupa paras dan harta benda yang kita miliki tetapi menilai peribadi kita menerusi tutur kata dan sopan santun kita. Nasihat ini juga saya tujukan kepada diri kami bertiga yang gagal mengawal emosi buat kesekian kalinya. Namun semasa sampai di Alor Star, saya kira pak cik ini agak baik jugalah kerana dia ada bertanya kepada Mahsuri di mana kami akan tidur malam ini? Ada rumah saudara-marakah di sini? Kami hanya mengangguk sahaja kerana jika menjawabnya tiada apa yang berubah. Kami tetap terlepas feri dan hanya akan pulang keesokannya.
“Sot-set”: Dalam marah-marah pun sempat lagi tersenyum mendengar pak cik itu bercakap. Maafkan kami ya pak cik.=)


No comments:

Post a Comment