Sunday, March 13, 2011

Kundi bukan kendi


Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Sudah lama saya tidak menulis di laman “sot-set bahasa” ini. Hal ini disebabkan tugasan yang agak banyak membuatkan masa menjadi terhad dan kekangan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang agak perlahan.  Namun tugas tetap tugas dan ia perlu dilaksanakan. Semasa sedang menyiapkan tugasan, saya cuba merehatkan mata dan telinga dengan mendengar himpunan lagu-lagu nasyid. (hehehehehe..baik la pulak)..
Ketika sedang asyik mendengar, saya tertarik dengan lagu ‘Bicara Kata’ yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid terkenal In-Team, terdapat perkataan yang begitu “pelik dan diragui” yang saya dengar. Lalu saya dengan segera menyemak perkataan tersebut, sama ada tepat atau tidak digunakan. Berikut merupakan lirik lagu tersebut yang menggunakan perkataan yang diragui itu.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Perkataan tersebut ialah ‘kendi’, dan berbeza dengan lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi wanita popular, Dato’Siti Nurhaliza dalam lagunya Kurik Kundi. Jadi persoalannya di sini, perkataan yang mana satukah betul? ‘Kendi’ atau ‘kundi’ ?

*****
Setelah diamati dan dibuat sedikit penyelidikan, berikut merupakan hasilnya:
Kesalahan : kendi
Maksud ‘kendi’ ialah bekas air yang bermuncung dan bertangkai (dibuat daripada tembikar atau tin)
Pembetulan : kundi
Maksud ‘kundi’ ialah biji saga yang digunakan untuk menimbang emas.

Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa
Penggunaan pantun Melayu sememangnya perlu dikomersialkan dan dipromosikan dalam bentuk lagu seperti usaha yang dijalankan oleh penyanyi-penyanyi di atas. Dengan adanya lagu-lagu sebegini, secara tidak langsung kita telah berjaya menarik golongan muda, misalnya untuk meminati khazanah warisan dan budaya Melayu itu sendiri. Misalnya, lagu bicara kata ini sememangnya sarat dengan nasihat supaya kita menjaga tutur kata dan menggunakan bahasa yang betul supaya kata-kata kita itu tidak menyakitkan hati orang lain. Namun yang menjadi persoalannya ialah pemilihan perkataan itu mestilah tepat bagi mendukung makna yang hendak disampaikan. Perkataan kendi itu ternyata salah dan perlu diperbetulkan kerana maksud pantun yang hendak disampaikan turut berubah makna dan masejnya. Jadi, cadangan saya lagu ini perlu direkodkan semula agar tidak berlaku salah faham makna dan saya juga khuatir seandainya perkara ini menjadi kebiasaan, dan yang salah menjadi betul, yang betul menjadi salah. =)

Sot-set: Menurut Nik safiah Karim - kurik dan kendi merupakan bahasa minang, (atau ada suku kaum di Indonesia).

No comments:

Post a Comment