Assalamualaikum dan salam sejahtera semua…
Kali ini, saya ingin berkongsi maklumat yang agak menarik selepas saya membaca akhbar Berita Harian, 26 Januari yang lepas. Artikel yang ditulis oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Othman, yakni pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya ini disiarkan dalam kolum yang bertajuk “Mewah Bahasa”. Saya kira ia sangat menarik dan sesuai dalam perbicaraan bahasa dari aspek sosiolinguistik dan perlu dikongsi bersama pembaca yang lain. Tajuknya ialah ‘… Tenggek ayo, bukan kayo’
Anom seorang guru yang baru mengajar di Sabah, pulang bercuti ke Semenanjung.
Anom: Tak sangka ya?!
Imah: Tak sangka panya?
Anom: Yalah, kau dapat mengajar dekat kampung sendiri, aku terpelanting jauh ke Sabah.
Imah: Aku pun memang tak sangka, tup-tup dapat kat kampung sendiri.
Anom: Kau memang bertuah, senang le sikit kan?! Dekat dengan mak bapak, tak gaduh nak cari rumah sewa.
Imah: ha ah… mulanya aku rasa untung, tapi…
Anom: Tapi apa pula? Menyesal pulak ke?
Imah: Bukanlah menyesal… tapi kalau kena hantar ke tempat lainaku rasa lagi untung! Macam kau tu…
Anom: Memang… kau tau tak?! Mula-mula aku dapat surat penempatan ke Sabah dulu, aku menangis sepanjang malam! Dua tiga hari tak selera makan, he! he! he! ...
Imah: Kih! kih! kih! ... kau pun tak suka ke?
Anom: Tu mula-mulalah! Sekarang ni aku rasa seronok la pulak, boleh simpan duit sikit!
Imah: Yalah, aku dengar macam-macam elaun dapat.
Anom: Tiket kapal terbang setahun sekali pun dapat, bukan tiket penerbangan murah tau! yang ni ada makan minum kat atas kapal terbang.
Anom: Isy!! Lagut bersembang… aku ke belakang kejap yea?
Imah: Eh! Nak ke mana pulak tu? Tak payahlah susah-susah…
Anom: Idak susah aih! Aku nak ke belakang nenggek ayo jap! Duduk le dulu yek…
(Beberapa minit kemudian)
Imah: Ai? Cepatnya …
Anom: Buat apa lama-lama, nenggek ayo je!
Imah: Ai! Kalau dulu, kalau tak da setengah jam tak sah.
Anom: Dulu?
Imah: Yalah! Masa kat asrama maktab dulu …
Anom: Mana ada, … kata asrama tak boleh pun.
Imah: Ada ke tak boleh pulak?! Kalau tak boleh meletup le! He! He! He!...
Anom: Apa yang meletup? Kau cakap apa ni? Aku dah mula tak faham, sejak mengajar di Sabah ni, cara cakap pun dah cara orang Sabah!
Imah: Yalah, aku ingat lagi…masa kata asrama dulu, kalau kau pergi ke bilik air, tak pernahnya yang kejap. Paling tidak pun mau setengah jam!! Tapi tadi kejap je.
Anom: Kalau ke bilik air memanglah lama, sama je dulu dan sekarang! He! He! He!
Imah: Isy1 Ya ke?! Tadi kejap je?
Anom: tadi aku pergi nenggek ayo, bukannya pergi bilik ayo!!
Imah: Tak sama ke? Kan ke itu maksudnya pergi bilik air??
Anom: Ada pulak macam itu!
Imah: Eh! Rasanya dulu masa kita duduk sebilik masa di asrama, kau selalu guna perkataan tu untuk ke bilik air. Aku ingat lagi…
Anom: ooo… itu ke? Itu bukan tenggek ayo, itu kayo! Dulu aku selalu guna perkataan kayo untuk maksud pergi bilik air. Perkataan itu sebenarnya ke air, atau pergi ke bilik air. Orang Perak kata ke ayo… bila cakap laju-laju jadi kayo!... ini bahasa sopan nak ke jamban!
Imah: He! He! He! Aku dengar sama je…ada bunyi ayo kat hujngnya, aku ingatkan sama. Abis tu, tenggek ayo tu apa pulak?
Anom: Jerang air!
Imah: Jerang air?
Anom: Laa… itupun tak tau? Masak air lah!! Masak air nak bancuh teh tarik kegemaran kau dulu tu.
Imah: Masak air ke? He! He! He! … aku ingat kau nak ke jamban tadi. Ha!! Ini satu kelemahan orang yang mengajar di tempat sendiri…
Anom: apa pulak?
Imah: Terpengaruh dengan dialek sendiri, kurang mahir bahasa baku!
Anom: Isy1 Tak de lah sampai macam tu! Aku cakap macam ni kat rumah je… kats ekolah guna bahasa bakulah! Kalau kat rumah pun cakap baku, peliklah pulak… macam drama Melayu jadinya! Kih! Kih! Kih!...
Imah: Iyalah tu… Kih! Kih! Kih!
***
Sot-set: Situasi di atas sering terjadi dalam kalangan masyarakat kita yang mewah dengan pelbagai kosa kata. Hal ini memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa bahasa baku. Misalnya penggunaan perkatan tenggek ayo yang disalahtafsirkan dalam proses komunikasi kepada perkataan kayo, walhal tenggek ayo maksudnya menjerang air, manakala kayo pula memebawa maksud pergi bilik air. Perkataan itu sebenarnya ke air, atau pergi ke bilik air namun orang Perak memanggilnya dengan sebutan ke ayo dan apabila mereka bercakap dengan pantas, ia menjadi kayo. Hal ini dianggap sebagai bahasa yang sopan oleh masyarakat penuturnya daripada menggunakan bahasa langsung, yakni ingin ke jamban. Gangguan pemahaman dalam proses komunikasi ini berlaku disebabkan adanya persamaan dari segi bunyi “ayo” itu sendiri.
No comments:
Post a Comment