Monday, March 14, 2011

Si Puteh menjadi Si Fitri


Semasa berada di dalam kelas Semantik dan Pragmatik bahasa Melayu, kami semua telah dihidangkan dengan perbentangan kumpulan yang berkisar tentang permasalahan KKT+Objek sifar. Saya bukanlah hendak bercakap tentang perbentangan tersebut, tetapi terdapat ujaran yang digunakan oleh para pembentang tersebut yang mencuit hati saya berkaitan dengan sosiolinguistik yang ingin dikongsikan pada kali ini. Berikut merupakan ujaran tersebut:
Mastura (bukan nama sebenar):  Kamu semua tentu tidak faham apa yang diterangkan oleh si Fitri (bukan nama sebenar) bukan?
Pelajar-pelajar: Ya!
Apakah pendapat anda tentang gejala memberikan nama manusia dengan gelaran kata sandang ini?
****
Kini, sudah menjadi gaya masyarakat kita gemar memberikan kata sandang “si” kepada manusia. Kata sandang ini bukan sahaja digunakan dalam perbualan sehari-hari, namun dengan santainya telah diungkapkan dalam perbincangan yang berbentuk formal seperti dalam perbentangan di atas. Menurut Sabarudin Abdul Rahman (2003: 76), kata sandang merupakan partikel yang tidak mempunyai makna. Kata sandang juga tidak boleh berdiri sendiri sebagai subjek atau predikat, namun demikian kata sandang mempunyai fungsi tertentu dalam pembentukan ayat. Kata sandang itu seperti yang, nya, “si” dan sang. Kata sandang si merupakan penegasan kata adjektif, kata nama dan kata singkat orang pada binatang kesayangan. Contohnya seperti: Si Tompok melarikan seekor ikan goreng yang terdapat di bawah tudung saji itu.
Apa yang menjadi persoalannya di sini, penggunaan kata sandang “si” semakin kerap digunakan, walhal kita sedia maklum bahawa penggunaannya hanya merujuk kepada binatang kesayangan. Tidak saya nafikan, kata “si” ini juga boleh digunakan bagi orang, namun hanya kepada kata singkat orang yang merujuk kata adjektif, seperti si miskin, si kaya, si penderhaka dan banyak lagi. Apakah manusia sudah berubah menjadi binatang kesayangan sehingga layak diberikan gelaran kata sandang ini. Seandainya penggunaan kata sandang ini merujuk kepada nama manusia yang telah diberikan oleh setiap ibu bapa kepada anak-anaknya ini dibiarkan, maka secara tidak langsung kita sendiri telah merendahkan martabat kita sama seperti binatang kesayangan yang dibincangkan di atas. 

“Sot-set”: Kadang-kadang pelik dengan sikap manusia yang tidak suka namanya dipendekkan walhal dia juga selalu memendekkan nama orang. Dalam dunia ini, hanya ibuku dan guruku sahaja yang memanggil namaku dengan nama penuh. =)

No comments:

Post a Comment