Wednesday, March 16, 2011

Jamu dalam dialek Kedah dan Kaitannya dengan Homonim






Anda pernah membaca novel “Seluang Menodak Baung” hasil karangan S.A Shahnon Ahmad? Belum? Kalau belum, lebih baik anda dapatkan di perpustakaan terdekat dengan cepat kerana novel ini sangat menarik, iaitu berkaitan tentang perjuangan hidup penduduk Ternas yang ingin mendapatkan sekeping tanah di bumi sendiri. Shahnon Ahmad merupakan insan yang kreatif dalam mempelbagaikan variasi kosa katanya termasuklah menggunakan dialek Utaranya (Kg. Banggul Derdap, Sik, Kedah-tempat lahir Shahnon Ahmad). Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah penggunaan dialek Kedahnya. Saya kira bagi mereka yang bukan dari negeri jelepang padi atau negeri Utara pasti akan metafsir makna yang berbeza terutama bagi perkataan-perkataan tertentu. Baiklah, sekarang saya mahu tanya anda, apakah yang anda faham tentang perkataan ‘jamu’? Mesti anda semua menjawab ia sejenis ubat-ubatan herba yang diamalkan oleh golongan wanita untuk kesihatan dan kecantikan bukan? Baiklah saya beri peluang kepada anda sekali lagi. Kali ini saya berikan dengan contoh ayat agar anda mudah untuk menelah berdasarkan konteks:
“Akan kita jamu semua dengan nasi bersama ikan belanak bakar dan kuah pindang” (Seluang Menodak Baung, halaman 124)


****
Sebenarnya tujuan saya ingin ketengahkan kosa kata ‘jamu’ ini adalah kerana untuk mengaitkan dengan homonim, yakni membuktikan bahawa bahasa Melayu itu sangat unik dan mempunyai makna yang berbeza dan perlu diteka berdasarkan konteks. Di sinilah peri pentingnya kita mempelajari ilmu Semantik dan Pragmatik agar makna yang hendak disampaikan itu kita fahami. Baiklah, berbalik kepada dialek ‘jamu’ pada kalimat di atas, iaitu membawa makna hidang atau memberi makan kepada seseorang berbeza dengan perkataan ‘jamu’ yang pertama tadi. 


Jadi, penuturnya perlu mengetahui dalam bahasa Melayu ini terdapat perkataan yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya dan mempunyai makna yang berbeza. Bentuk kata ini dipanggil homonim. Contoh lain bagi homonim ialah ‘jarang’ dan ‘daki’, iaitu:
·         Daki I: kekotoran yang melekat pada badan
·         Daki II: panjat

No comments:

Post a Comment