Saturday, January 22, 2011

"Kencing" sebagai Bahasa Halus?


Salam pembuka bicara… Selamat “bersot-set2” tentang bahasa kita. Kali ini saya ingin membicarakan tentang variasi bahasa Melayu yang pelbagai termasuklah penggunaan Bahasa Halus. Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Bahasa halus juga ada kalanya digunakan dalam surat menyurat apabila kata-kata yang bersopan digunakan. Kata ganti nama diri merupakan ciri-ciri yang penting, seperti penggunaan anakanda, ayahanda, adinda, kekanda, bonda dan nenda. Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus atau tidak berterus terang.
Contoh: Buang air kecil, buang air besar, berbulan madu, berbadan dua.
Berikut diturunkan beberapa contoh:
Bahasa Basahan
Bahasa Halus
kencing
Buang air kecil
berak
Buang air besar
mengandung/bunting
Berbadan dua
kubur
makam
 ****
“Nak kencing orang nombor satu!”
Apakah yang anda faham apabila membaca ayat di atas? Ayat di atas saya “kutip” daripada perbualan seorang pelajar UPSI ketika berada di dalam bas menuju ke pasar malam..Agaknya dia begitu marah dengan seseorang, hingga bercakap lepas sehingga tidak memperdulikan mata-mata dan telinga-telinga disekelilingnya. Saya hanya memasang telinga mendengar ceritanya yang nyata tidak berpuas hati dengan seseorang yang menipu dirinya. “Kencing” di sini dapat saya tafsirkan sebagai menipu/bohong dan sebagainya. Hal ini ternyata amat berbeza maksudnya dengan bahasa basahan yang kita bincangkan di atas, iaitu “kencing” yang membawa makna membuang air kecil. Hal ini saya kira bukanlah suatu perkara asing yang baru berlaku, namun sudah lama berlaku akibat perubahan masa. Bahasa tidak formal seperti ini sering kali dituturkan oleh generasi muda sekarang. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa  variasi bahasa dalam bahasa Melayu itu sendiri membawa makna yang pelbagai, dan kita perlu menentukan makna sesebuah kata berdasarkan konteks. Konteks yang berbeza ini perlu difahami agar tidak berlaku salah tafsir atau salah faham maknanya.

No comments:

Post a Comment