Friday, January 21, 2011

Bahasa SMS umpama Virus

Salam kepada semua pembaca..Selamat “bersot-set2” tentang bahasa kita di hujung minggu.. =)..Pagi semalam saya sempat menghadiri satu seminar berkaitan isu bahasa dalam konteks sosiolinguistik bersama tokoh bahasa, Prof. Awang Sariyan di Dewan Seri Tanjung, UPSI.. Dalam seminar ini pelbagai isu telah dikupas termasuklah penggunaan bahasa SMS dalam perbualan harian mahupun penulisan..Saya begitu tertarik dengan isu tersebut kerana rata-rata rakyat di Malaysia kini gemar menggunakan bahasa SMS ini. SMS atau singkatan kepada “Khidmat Pesanan Ringkas” ini digunakan secara tidak terkawal dan sewenang-wenang oleh pengguna SMS, terutamanya dalam SMS yang disiarkan di layar televisyen telah melahirkan kerisauan kepada ahli bahasa kerana gejala ini boleh memberikan kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu.
Serentak dengan perkembangan SMS itu juga, baik SMS yang hanya dapat dibaca di layar telefon mahupun yang dapat dibaca di layar tv, satu gejala baru yang turut berkembang, iaitu bahasa SMS. Bahasa SMS ialah bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi secara tulisan melalui saluran SMS, dan bahasa yang lazim digunakan ialah bahasa yang tidak baku atau bahasa basahan. Bahasa ini dari aspek leksikalnya mempunyai unsur-unsur campuran antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa daerah atau dialek. Singkatan dan gabungan kata juga turut digunakan secara sewenang-wenangnya dalam bahasa SMS, seperti leh join (boleh bergabung), yg cute (yang cantik), sume (semua), jer (sahaja), dan pastu (selepas itu). Selain itu,
huruf, angka dan simbol juga turut digunakan dalam SMS, seperti U (awak), I (saya), 4 (untuk), 2 (itu), @ (atau), dan $ (duit).
Sebagai bakal pendidik, saya merasakan gejala ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat kerana bahasa SMS ini rata-ratanya banyak dituturkan oleh generasi muda atau remaja. Bahasa yang dituturkan sehari-hari banyak memberi kesan kepada prestasi mereka di sekolah terutama dalam penulisan karangan. Mereka akan cenderung menggunakan bahasa SMS ini dalam penulisan di sekolah, baik dalam bahasa Melayu itu sendiri mahupun dalam mata pelajaran yang lain.  Jadi, apakah yang seharusnya kita sebagai bakal pendidik lakukan untuk menangani gejala ini. Hanya memandang, mendengar dan membiarkan? Atau bersiap sedia dengan perisai dan senjata yang ampuh untuk menentang virus-virus kecil ini agar bahasa kita tidak diinjak-injak di kemudian hari. Mari, rakan taulan semua kita lakukan perkongsian idea bagaimana kita sebagai insan yang kerdil mahu menumpaskan gelombang bahasa SMS ini dengan berhemah?…

SEMINAR ISU-ISU SOSIOLINGUISTIK BAHASA MELAYU SEMASA
BERSAMA PROF. DR AWANG SARIYAN

Sot-Set2: Tertarik dengan kata-kata Prof. Dr Awang Sariyan “Bangsa Besar Melayu Mahawangsa”

Sumber: http://www.dbp.gov.my/khidmatsms.pdf

No comments:

Post a Comment